Nantikan drama Unifi TV Originals bertajuk Din Tiger, arahan pengarah terkenal Dato’ Afdlin Shauki, yang mengetengahkan isu jenayah penipuan atau scam yang semakin berleluasa di Malaysia. Drama bergenre thriller dramatik aksi ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Dato’ Afdlin Shauki, Datin Nina Juren, Tony Eusoff, Josiah Hogan, Adam Corrie, dan Mia Sara Shauki.
Saksikan Din Tiger yang akan mula bersiaran pada 6 Januari 2025, setiap hari Isnin jam 11 malam, eksklusif di DEGUP HD, Saluran 120 di Unifi TV. Saluran ini boleh ditonton secara percuma untuk semua pelanggan Unifi TV dan juga boleh distrim melalui aplikasi Unifi TV!
Din Tiger
Episod: 8
Tarikh Tayangan: 6 Januari 2025
Waktu Siaran: Isnin, 11:00 malam
Rangkaian: DEGUP (Unifi TV)
Penulis Skrip: Norsyiella Annuar, Haris M. Nor, Amin Shakib, Lepat, Rahman Nayan
Pengarah: Afdlin Shauki
Produksi: KL Post Sdn Bhd
Watak Pelakon
Aaron Aziz sebagai Din Tiger
Mia Sara Shauki sebagai Elyn
Afdlin Shauki sebagai Boss Mario (Tan Sri Alif)
Nina Juren sebagai Madam Big Boss
Josiah Hogan sebagai Anat
Tony Eusoff sebagai DSP Openg
Adam Corrie sebagai Lai Chee
Serene Claire sebagai Marsha
Arieana Mikayla sebagai Elyn
Ako Mustapha
Jessica Kueh Mei Fung
Sinopsis Din Tiger
Kisah ini mengisahkan Din Tiger, seorang pakar dalam mengendalikan sindiket penipuan terbesar bagi ketua jenayah terkenal, Big Boss Mario atau dikenali sebagai Dato’ Sri Alif. Din memutuskan untuk meninggalkan dunia penipuan demi memberi tumpuan kepada keluarganya – isterinya, Marsha, dan anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun, Elyn.
Keputusan berani Din menyebabkan Big Boss Mario kecewa, tetapi dia tetap menghormati keputusan Din. Namun, Anat, pekerja bawahan Din yang setia, bimbang akan keselamatan Din kerana selama ini mereka dilindungi oleh Big Boss Mario.
Din tetap nekad untuk berubah. Sejak kecil, dia terlibat dalam dunia penipuan, bermula dengan mesin kuda sehingga menjadi seorang scammer yang menipu ribuan mangsa. Dengan bantuan abang iparnya, Lai Chee, yang menjalankan perniagaan pinjaman wang berlesen, Din merancang untuk membuka sebuah kedai gajet dan ingin meraikan kejayaan itu bersama Lai Chee. Namun, impiannya musnah apabila Marsha dibunuh dengan kejam dan Din dituduh sebagai pembunuhnya.
Sepuluh tahun kemudian, Din dibebaskan dari penjara dengan satu misi – menyelamatkan anaknya, Elyn, yang kini berada dalam genggaman Big Boss Mario. Tetapi, tugas itu lebih mencabar daripada yang dijangka. Elyn percaya bahawa bapanya telah mati dan kini hidup bahagia bersama keluarga barunya. Tambahan pula, Madam Big Boss menyayangi Elyn seperti anak kandungnya sendiri. Elyn, yang mewarisi kebijaksanaan Din, digunakan untuk memperkukuh empayar penipuan Big Boss Mario.
Din bekerjasama dengan DSP Openg, seorang pegawai polis yang berdedikasi dalam operasi membanteras jenayah penipuan. DSP Openg berhasrat untuk menumpaskan Big Boss Mario. Din terpaksa kembali ke dunia gelapnya, bukan sahaja untuk menyelamatkan anaknya tetapi juga untuk memberikan maklumat dan bukti yang boleh menjatuhkan Big Boss Mario kepada DSP Openg.